Monday, August 24, 2009

Bersahur

Hari masuk hari ke 3 berpuasa namun anakku yang ke 4 yang berumur 5 tahun iaitu Irsam Syamil masih belum lagi dapat menghabiskan puasanya. Cuma beransur maju dalam menahan lapar dan dahaga. Hari pertama sempat sehingga jam 2.30 petang dan hari yang kedua pula sehingga 4.00 petang. Tak tahu le hari ini............... Memang tidak terlalu memaksa untuk berpuasa dan menahan makan serta minum hanya sekadar yang termampu sahaja dulu. Kalau nak mengajar anak berpuasa biarlah daripada kecil lagi jangan tunggu dah besar nanti agak payah..............

Satu perkara yang penting di dalam mengerjakan puasa di bulan Ramadhan ini ialah bersahur. Memang agak liat nak bangun bersahur kerana suasana yang baru kena dan terpaksa untuk bangun pepagi hari lagi.....memang berat. Nasib baik permulaan Ramadhan ni cuti sekolah dapatlah anak-anak menyambung tidurnya selepas solat Subuh.

Sahur bermaksud mengambil makanan ketika hampir waktu Subuh. Menurut Zamakhsyari, masa terbaik untuk bersahur adalah dua jam sebelum masuk waktu Subuh. Malah lebih hampir dengan waktu Subuh adalah lebih baik. Alangkah beruntungnya orang yang bangun bersahur. Dia mendapat dua kebaikan. Pertama, dapat makan supaya tidak terlalu lapar pada siang hari. Kedua, dapat ganjaran pahala dan kerberkatan.


Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seseorang kamu hanya minum seteguk air”

(HR Ahmad)


1. Kita akan mendapat pahala apabila bersahur kerana ia merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.


2. Dengan bersahur kita juga mendapat keberkatan kerana ia menguatkan jasmani orang yang berpuasa untuk beribadat dan meningkatkan rohani orang yang berpuasa dari segi keikhlasan beribadat.


3. Bersahur dapat menolong mengurang dan menghilangkan perasaan marah yang disebabkan kelaparan.


4. Waktu sahur juga merupakan waktu doa mudah dimakbulkan Allah s.w.t.


5. Pada waktu dinihari ketika bersahur, seseorang itu mendapat lebih peluang untuk mengingati Allah s.w.t. dengan cara berzikir dan berdoa.


6. Bersahur juga melatih kita menjaga kesihatan dari segi pemakanan kerana kita digalakkan bersahur dengan makanan yang mudah hadam, kurang atau tidak pedas serta di akhiri dengan susu.


7. Berkat bersahur di akhir waktu adalah supaya kita dapat mengekalkan keupayaan fizikal lebih lama sehingga waktu berbuka puasa.


8. Apabila kita bangun sahur, secara tidak langsung ia memberi kita peluang menikmati waktu terbaik menunaikan Qiamullail atau sekurang-kurangnya melatih kita bangun awal untuk terus menunaikan solat Subuh selepas bersahur.


Sesungguhnya, banyak hikmah dan kebaikan pada sahur. Jangan tinggalkan amalan bersahur kerana lebih mementingkan tidur. Bangunlah untuk mendapatkan pahala dan limpah kurnia Allah. Nikmatilah dua hidangan yang amat berkat di bulan yang penuh berkat ini, iaitu hidangan ketika berbuka dan hidangan ketika bersahur. Betapa malangnya orang yang diberi makan kemudian diberi pula pahala, lalu dia tidak mahu menerimanya.


Sedikit ilmu yang dipetik daripada tazkirah Ramadhan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia.

Salam untuk semua.................

No comments:

Post a Comment