Sunday, November 22, 2009

Berjalan lagi

Semenjak semalam kami sekeluarga berada di Labis bagi mengunjungi sahabat lama yang sama-sama menduduki rumah guru di Chaah tempohari dan kini telah pun membeli rumah yang berharga ratusan ribu di Labis. Sambil2 melawat dan bermalam sebelum ke IPTHO Batu Pahat untuk belajar.

Semua tugasan telah pun dibereskan dan menunggu keputusan aje. Sememangnya semuanya berasa lega dengan tugasan yang telahpun disiapkan.

Badan yang agak letih kerana asyik berjalan aje dan kekurangan tidur semenjak beberapa hari ini membuatkan rasa mengantuk sangat apabila berada di dalam kelas. Nasib semuanya hanya perbincangan mengenai peperiksaan yang akan dijalankan pada pertengahan bulan Disember nanti.

Sempat le nak balik ke kampung di Jengka sementara menunggu waktu peperiksaan dijalankan. Sekali lagi percutian akhir tahun terpaksa dipendekkan kerana anak2 dan aku mempunyai kelas dan tugasan yang perlu dilaksanakan.

Salam untuk semua...............

Friday, November 20, 2009

Berita Gempat

Bertungkus lumus menyiapkan beberapa perkara sebelum persekolahan tahun 2009 melabuhkan tirainya dan akan berjumpa di tahun 2010 pula satu berita yang agak mengejut ramai guru iaitu terpaksa kehilangan 2 orang guru yang telahpun lama berkhidmat di SK Keratong 6. Ini disebabkan kedua-dua telah diarahkan berpindah ke SK Keratong 1 iaitu Cikgu Mohd Saad dan SK Keratong 4 isterinya Siti Zubaidah. Memang SK Keratong terdapat lebihan guru kerana kekurangan bilik darjah namun senarai pendek nama guru telah pun dihantar ke PPD Rompin untuk dikeluarkan dari SK Keratong 6 namun belum pun tutup sekolah JPN Pahang telah pun menyenaraikan nama tersebut.

Kehilangan yang begitu dirasakan oleh ramai guru namun bagiku ianya sudah agak biasa kerana aku pun telah berpindah 5 buah sekolah sepanjang perkhidmatanku selama 13 tahun. Namun begitu bagi Cikgu Saad yang rajin berborak dan banyak mengeluarkan idea bagi mengatasi permasalahan yang berlaku di SK Keratong 6 denganku di bilik guru menyebabkan aku jua rasa agak terkilan dan akan membuatkan senyap di tahun hadapan. Maklumlah ramai guru terutamanya lelaki mempunyai bilik persembunyian tersendiri dan jarang2 berada di bilik guru.

Walaupun masih lagi berada di kawasan Keratong dan berpindah dari Kelompok Chanis ke Kelompok Bandar Tun Razak namun perhubungan akan jadi kurang mesra apabila bertemu nanti. Apa-apa pun didoakan kebahagiaan untuk semua.....

Salam untuk semua............

Thursday, November 19, 2009

Sibuk lagi

Jam 6.30 aku dah bergerak ke Johor Bahru dari Simpang Renggam melalui highway PLUS. Namun kesesakan berlaku juga di Jalan Tebrau yang menyebabkan kelewatan sampai di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Jam menunjukkan baru 7.40 pagi apabila aku sampai ke Pakar Kanak-kanak di HSA JB dan mendapat angka giliran yang ke 10.

Setelah mendapatkan nombor giliran aku berdua beranak ke kantin hospital terdahulu untuk menikmati sarapan pagi. Memang aku sudah pasti kedatangan doktor pakar untuk memberikan rawatan. Setelah selesai sarapan pagi kami berdua pun menunggu di luar bilik rawatan kerana nombor angka giliran masih belum bergerak lagi. Sambil2 tu sempat jua membaca akhbar dan menonton televisyen manakala anakku berlari ke sana dan ke sini.

Memang memenatkan untuk menunggu seperti ini.....orang atau pesakit semakin ramai datang mendaftar dan menunggu namun nombor giliran masih belum bergerak-gerak lagi. Sempat jua melayari internet tetapi namun baik x de plug untuk mengecas bateri laptop kalau tak memang lama le menggunakannya. Jam 10.05 baru nombor giliran angka 001 bergerak.... bayangkan le masa yang perlu diambil di hospital kalu macam ini. Bagaimana pula yang datang lewat dan angka gilirannya banyak......

Setelah masuk ke bilik rawatan yang tidak sampai 5 minit pun baru aku terus bergerak balik ke Keratong. Semasa perjalanan balik bertalu-talu mesej dari orang lain yang memberitahu keputusan UPSR dan bertanyakan keputusan UPSR anak sulungku. Cuma apa yang dapat ke beritahu PPD Rompin terlalu dekat untuk pergi sehingga 120km....jadi keputusan bagi sebahagian daripada sekolah di daerah Rompin ini agak terlewat diberikan. Memang agak berdebar juga menunggu keputusan UPSR kerana anak pertama yang juga dikatakan contoh buat adik-adik yang lain di masa akan datang.

Jam 12.45 tengahari barulah keputusan UPSR anak sulungku Irahani Izma dapat diketahui dan anakku mendapat 4A dan 1B. Apa yang agak diralatkan ialah yang mendapat B adalah subjek Sains. Namun apa pun tahniah juga kepada anakku yang juga berjaya menempatkan di kalangan antara orang yang cemerlang......masih panjang masa untuk perlu berusaha ke arah kejayaan dan UPSR baru langkah yang pertama.

Dalam perjalanan balik sempat pula singgah di SK Seri Bali, Chaah yang kebetulan di laluan utama perjalanan balik. Setelah berjumpa dengan sahabat handai yang berada di situ dan SK Seri Bali hanya 7 orang yang mendapat 5A namun dari segi peratus keseluruhannya agak menurun berbanding tahun lepas. Manakala di SK Keratong 2 sekolah anakku terdapat 10 orang yang mendapat 5A sedangkan di sekolahku sendiri iaitu SK Keratong 6 cuma 4 orang sahaja yang mendapat 5A namun peratus kelulusannya antara 10 yang terbaik di daerah Rompin dengan 89%.

Setelah menjamu selera di SK Seri Bali kerana pengusaha kantin meraikan guru-guru barulah aku bergerak balik ke Keratong. Sesampai sahaja aku memeluk anakku dan mengucapkan tahniah kepadanya walaupun tidak berjaya mendapat 5A namun 4A dan 1B juga adalah antara yang tercemerlangan. Berbandingan dengan sepupunya hanya mendapat 2A 2B dan 1C (Safarudin anak Kak Nor) dan 2A 1B dan 2C (Amirin anak abang Kholil). Moga semua berjaya di dunia dan di akhirat..........

Salam untuk semua........


Ke Johor Bahru

Pergerakan yang berterusan ........... hari ini jam 6 petang aku bergerak pula ke rumah sahabat di Simpang Renggam dengan membawa anak yang ke 4. Tujuan utama adalah untuk temujanji dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru pada keesokan harinya.

Sempat pula singgah sebentar menghantar assingment pada sahabat di Labis sebelum meneruskan perjalanan ke Simpang Renggam. Biarpun agak keletihan namun perjalan perlu diteruskan jua. Sesampai di Simpang Rengam kami berdua makan terlebih di sebuah gerai. Apa yang diorder telah tersalah menyebabkan berair mata anakku kerana kepedasan mee goreng yang dimakan. Nasib baik pemilik kedai bersetuju menggantikan semula mee goreng tersebut kalau tidak aku bercadang nak belah begitu aje.

Setelah itu aku ke Masjid Jamek Simpang Renggam dan bercadang ingin menunaikan solat namun keadaan di masjid tersebut yang bukan sahaja gelap dan menakutkan ....... langsung terus mematikan hasrat untuk bersembahyang terlebih dahulu. Memang kedatangan kami ke situ jam 9.30 malam namun satu lampu pun tiada dipasang di sekeling atau koridor masjid. Bagi orang baru yang belum pernah ke situ .......bukannya mudah untuk mencari suisnya. Aku pun menunggu rakan di situ aje le...nampaknya.

Setelah sahabat Mohd Khairi sampai di situ kami pun bergeraknya ke rumah yang baru dibelinya. Nampak gayanya alamat lama lagi le dok kat Johor kalau rumah pun dah dibelinya. Masih banyak barangan yang tiada di rumah sahabat maklumlah baru seminggu berpindah dan barang-barang pun masih belum dikemaskan dengan sempurna lagi. Duduk di rumah berborak sehingga jam 12 malam barulah masuk ke bilik tidur. Namun aku meneruskan program seperti biasa sambil diperhatikan oleh sahabat yang juga belum tidur.

Salam untuk semua...........

Tuesday, November 17, 2009

Minggu Akhir Persekolahan

Berada di minggu-minggu terakhir persekolahan ini agak sibuk dengan tugasan yang perlu untuk memasuki tahun 2010. Segala kerja yang berkaitan dengan kelas perlu diselesaikan dengan segera. Bagi guru-guru yang diamanahkan untuk menjaga kelas memang agak sibuk sedikit dengan tugas-tugas pengkeranian terutama sekali Tahun 1 dan Tahun 6.

Beberapa mesyuarat dan perjumpaaan sama ada dengan murid atau sesama guru telah diadakan bagi merancang persiapan tugasan tahun 2010. Memang kebanyakan sekolah suasananya agak gamat ditambah lagi dengan tugasan guru yang perlu menyiapkan segera beberapa tugasan. Suasana murid tahun 6 pula semakin berdebar untuk mengetahui keputusan UPSR yang akan diumumkan pada hari Khamis nanti seperti yang dikhabarkan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd Dom.

Seorang rakan guru Puan Nurul Liyana telahpun berjaya melahirkan puteri seperti yang diharapkan. Moga semuanya berbahagia.... dengan beberapa orang lagi guru dalam senarai menunggu. Cuti persekolahan ini juga akan memberikan banyak kegembiraan kepada guru dan kakitangan SK Keratong 6 yang akan melangsungkan perkahwinan. Moga semuanya berbahagia.........................

Salam untuk semua...........

Monday, November 16, 2009

Ke Klinik Urology

Setelah kepenatan semalam apabila dari Kuala Lumpur dan tidak terlarat badan ini untuk meneruskan pemanduan ke Kuantan untuk rawatan di HTAA sementelah beberapa kali tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk makanya jam 8.00 pagi barulah bertolak ke Kuantan. Memang tidak perlu terkejar-kejar kerana waktu temujanji ialah jam 12.00 tengahari.

Sesampai ke HTAA yang mendatang masalah kepada semua pengunjung adalah tempat letak kereta yang terlalu kurang. Namun pengalaman yang sudah berulang kali kali ke HTAA walaupun terlewat namun tempat parking pasti ada buat aku ni.....expect le tu.....he he...

Menghampiri jam 12.00 tengahari terus sahaja namaku dipanggil untuk bertemu dengan dengan doktor. Walaupun bukan doktor pakar yang sepatutnya kau berjumpa namun ianya sudah memadai kerana temujanji ini adalah untuk review daripada temujanji IVU yang dibuat pada bulan lalu. Tarikh 28/1/2010 telah diberi untuk dilakukan pembedahan terhadap masalah batu karang yang ada di buah pinggang aku ini dan 11/1/2010 sekali lagi akan ke HTAA untuk mengambil ujian darah dan air kencing.

Nasib lambat lagi tarikhnya dan aku sendiri bercadang untuk berada seminggu di Melaka bertemu dan berubat dengan Tok Moh Batu Karang terlebih dahulu semasa cuti sekolah yang akan menjelang tidak lama lagi.

Setelah selesai menjalani rawatan dan mengambil ubatan baru aku ke Kuantan Parade sekejap untuk membaiki printer yang telah lama rosak. Alhamdulillah semua ok namun printer aku diganti dengan yang baru kerana tidak mahu menunggu lebih lama.

Setelah itu barulah ke rumah bapa saudara yang berada di Kampung Seri Damai Kuantan berehat sebentar sebelum bertolak balik ke Keratong.........

Salam untuk semua..................


Sunday, November 15, 2009

Konvo OUM

Semalam selepas awal pagi menghantar Angah dan Uda untuk mengikuti rombongan ke Melaka dan kami pula membawa mak dan abah ke Batang Kali Selangor kerana ingin melihat abang ipar yang mengajar di sini akan dianugerahkan Ijazah Muda Pengajaran oleh Universiti Terbuka Malaysia ( OUM ). Perjalanan merentasi Negeri Sembilan melalui perjalanan Keratong - Kuala Pilah - Seremban - Kajang - Cheras - Segambut - Batang Kali. Perjalanan tersebut menyebabkan emak yang sememangnya tidak boleh tertahan rasa loyanya.....cuma x termuntah sahaja.

Beberapa kali tersalah hala tujuan namun masih boleh diperbetulkan maklum bandarayabesar pasti ada saja jalan keluar sekiranya mengetahuinya..... kalau x pening kepala dibuatnya. Pepagi lagi sudah ke Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC ) tempat Konvokesyen OUM ke 7 diadakan. Memang meriah namun tempat meletak kereta di Stesen Bas Putra menyebabkan kelewatan berjalan yang amat dirasakan. Semapat juga semasa di situ membeli sehelai baju Alumni OUM maklumlah aku pun pelajar yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda dengan OUM.

Oleh kerana anak kecil menangis kelaparan jadi kami terpaksa kembali semula ke tempat parking kereta semasa majlis konvo sedang dijalankan. Setelah anak kekenyangan barulah kami kembali semula ke PWTC namun perasaan hampa sedikit apabila majlis tersebut telah pun selesai diadakan. Dalam kekalutan mencari arah dan keluarga abang ipar terpandang satu wajah yang amat dikenali iaitu sahabat yang berasal dari Kelantan serta mengajar di Terengganu. Beliau juga salah seorang peserta Konvokesyen OUM pada hari ini iaitu Al-Ahamadi. Mengenali beliau dan berkawan rapat dengan beliau semasa bersama-sama mengikuti KSPK 1 tahun di Maktab Perguruan Kuala Terengganu tahun 2004/2005 dahulu.

Biarlah dia terlebih dahulu dan aku akan menyusul pula di lain masa untuk konvokesyen itu nanti. Memang menyeronokkan apabila dapat segulung ijazah walaupun usia sudah agak lewat namun belajar sebenar tiada erti kata yang terlewat.

Salam untuk semua..............


Friday, November 13, 2009

Meriah

Semalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SK Keratong 6 dengan jayanya. Pengikhtirafan diberikan kepada murid yang berjaya memperolehi markah yang tertinggi bagi setiap mata pelajaran. Di samping itu juga sijil-sijil juga dianugerah kepada mereka yang layak menerimanya. Pentas yang disediakan memang hebat seperti majlis meraikan pengantin saja layaknya. Begitulah komitmen tugasan yang diberikan kepada guru untuk menjayakan majlis yang seperti ini.

Kehadiran para ibubapa ke Majlis Anugerah Kecemerlangan ini juga amat membanggakan. Biar pun seperti kebiasaannya kaum ibu lebih ramai berbanding dengan kaum bapa. Memang itu menjadi kebiasaan pada setiap majlis yang diadakan oleh pelbagai pihak....mungkin ketidakhadiran kaum bapa adalah disebabkan mereka sedang berkerja.

Semoga semua murid yang diraikan dan yang mendapatkan anugerah meneruskan dan mengekalkan pencapaian mereka di dalam pelajaran. Juga diharapkan mereka dapat meneruskan kecemerlangan ini di masa-masa hadapan untuk kehidupan yang lebih bermakna.

Salamu untuk semua...............

Wednesday, November 11, 2009

Sibuk

Esok diadakan Majlis Anugerah Cemerlang bagi SK Keratong 6. Hari ini sibuk sedikit membuat persiapan akhir bagi majlis tersebut. Nampak macam agak terburu-buru sedikit kerana baru sahaja habis peperiksaan minggu lepas dan ramai guru yang menghadiri mesyuarat dan bercuti pada awal minggu baru-baru ini.

Namun majlis tetap diadakan mengikut perancangan pihak sekolah yang telah ditetapkan. Hari ini juga diadakan raptai bagi penerima hadiah pada majlis yang akan diadakan keesokan hari. Mungkin tidak se'gah' majlis yang dihadiri oleh wakil-wakil rakyat atau orang politik namun majlis anugerah perlu juga diadakan bagi menunjukkan dan memperlihatkan kepandaian dan kecerdikan murid-murid yang telah melalui peperiksaan akhir tahun yang lalu.

Tahniah kepada yang berjaya agar meneruskan usaha tersebut di tahun-tahun hadapan. Manakala yang kurang berjaya tingkatkan usaha agar lebih berjaya dan berjaya di tahun depannya. Tetapi bagi murid Tahun 6 pastinya keputusan UPSR yang paling dinantikan dan bakal diumumkan pada minggu hadapan. Debaran semakin memuncak dan perasaan tidak sabar-sabar lagi menantikan keputusan. Cumanya hanya sebahagian yang merasakan perasaan tersebut kerana bagi mereka keputusan tersebut bakal menjadikan titik tolak kepada keseluruhan kehidupan di masa hadapan. Biar pun cuma UPSR tetapi kesungguhan murid-murid dan guru mengalahkan mengambil peperiksaan SPM......

Salam untuk semua......................

Saturday, November 7, 2009

Bergerak lagi

Hari ini sedikit awal ke Labis bagi menyiapkan tugasan atau assignment OUM bersama teman di Labis. Memang dari dahulu lagi tugasan yang sentiasa dibuat olehku untuk mengedit assignment yang telah pun siap bagi mengindah dan mencantikan lagi assignment...........kononnya. Ini bermakna sekali lagi aku terpaksa sekali meninggalkan anak dan isteri di rumah sendirian setelah minggu lepas aku balik ke Jengka apabila selesai mendapatkan rawatan di HTAA, Kuantan.

Setelah menyiapkan assignment dan binding sempat juga untuk melayan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Kelantan dan Negeri Sembilan. Namun memang sesuatu yang menghampa apabila melihat dan menonton perlawanan akhir yang dimainkan seperti ini. Sekiranya inilah mutu yang ditunjukkan memang agak payah bagi negara Malaysia untuk menjadikan permainan bola sepak yang disegani. Atau padang yang becak kerana hujan yang berterusan menyebabkan perlawanan akhir ini begitu membosankan dan kedua-dua pasukan tidak dapat menunjukkan gerakan yang betul-betul menarik. Asyik berlaku tackle dan slaiding yang menyebabkan tiupan wisel sering dibunyikan. Namun begitu permainan pemain Negeri Sembilan sedikt teratur dan menarik berbanding Kelantan. Keputusannya Negeri Sembilan memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan dengan keputusan 3 - 1.

Biarlah esok perlawanan yang ditunggu olehku iaitu antara pasukan favourite Chelsea akan bertemu dengan Manchester United di Stamford Bridge. Sekali lagi ingin melihat Manchester United tewas setelah ditewaskan oleh Liverpool tempohari. Biarpun perlawanannya dilangsungkan jam 12 malam namun tiada masalah bagi menyaksikan antara perlawanan terhebat di EPL.

Salam untuk semua..................

Friday, November 6, 2009

Hujan sudah bermula

Nampaknya musim tengkujuh sudah bermula di Negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang menyebabkan Negeri Terengganu dan Kelantan telah berlaku banjir dan sudah ada mangsa banjir telah dipindahkan. Negeri Pahang juga tidak terkecuali menerima hujan yang banyak. Sudah kelihatan beberapa peniaga ikan sungai yang menjual ikan-ikan air tawar yang memberikan rezeki kepada mereka. Setiap hari hujan turun yang menyebabkan terpaksa membataskan pergerakan .. nasib aku ni bukan jenis orang yang suka berjalan.

Walau bagaimana pun memang hujan ini rezeki yang sentiasa diturunkan oleh Allah sekitar bulan Oktober berlanjutan hingga ke bulan Januari. Cumanya penurunan hujan yang banyak boleh menyebabkan keselamatan penduduk agak terancam......itu pun bagi yang tidak mendengar arahan dari pihak yang berwajib.

Banjir yang sering berlaku di Pantai Timur kebiasaannya terkadang merebak hingga ke utara Semenanjung Malaysia. Begitu juga yang pernah berlaku di Johor seketika dahulu sehingga ada yang mengatakan Kota Tinggi sudah tenggelam kerana rendahnya tanah di situ tidak seperti nama bandarnya.

Salam untuk semua................

Monday, November 2, 2009

Peperiksaan Akhir Tahun 2009

Bermula hari ini hingga Khamis nanti kebanyakan sekolah rendah di Negeri Pahang akan menghadapi Peperiksaan Akhir Tahun 2009. Memang agak sibuk anak-anak yang bersekolah dan ramai juga yang sebelum ini tidak hadir ke sekolah telah pun datang untuk menghadapi peperiksaan. Begitu juga dengan anak-anakku yang menghadapi peperiksaan tetapi nampak macam rileks aje....menghadapi peperiksaan manakala ibubapa pula yang sibuk mengingatkan peperiksaan tersebut..

Hari ini di SK Keratong 6 diadakan pertandingan membaca puisi dan sajak bagi murid-murid tahun 6. Mereka yang hadir ke sekolah tanpa menghadapi lagi peperiksaan akhir tahun.....konon nak bagi rileks kepala yang mana sebelum ni telah pun berhempas pulas menghadapi peperiksaan UPSR. Kelonggaran yang diberikan namun kebanyakkan mereka tetap hadir ke sekolah tanpa berehat panjang di rumah menunggu keputusan UPSR diumumkan tidak lama lagi. Bagi memberikan tarikan dan keseronokan datang ke sekolah di hujung persekolahan seperti ini jadi pelbagai perancangan telah dibuat untuk mereka semua.

Diharapkan semuanya berjalan dengan lancar peperiksaan yang dihadapi oleh anak2 murid dan didoakan semoga semuanya berjaya. Termasuk juga anak2 sendiri yang mengharapkan imbuhan dan hadiah sekiranya pencapaian yang akan didapati mengikut target yang telah ditetapkan...

Salam untuk semua............

Celcom

Alhamdulillah sewaktu balik ke Jengka tempohari selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan capaian internet broadband Celcom agak memuaskan. Kebiasaannya hanya paparan GPRS tetapi kali ini paparan EDGE telah diperolehi. Mulanya mencuba di bahagian dapur kemudian ke bahagian keluarga dan seterusnya ruang tamu semuanya mendapat signal EDGE. Nampaknya semuanya sudah diperbaiki berbanding dahulu oleh Celcom.

Walaupun tidak mendapat signal 3G/HSDPA sekurang-kurangnya ianya memberikan sedikit kelegaan bagi yang selalu online untuk mendapatkan berita. Barulah dikatakan ' liputan terluas di mana-mana dan bila-bila masa sahaja '. Memang masih perlu dipertingkatkan setaraf dengan slogan yang dicipta agar tidak di 'POTONG' macam dalam iklan broadband yang satu lagi.

Sehingga jam 2 pagi mencuba internet yang baru diperolehi dan sampai membawanya ke dalam kelambu untuk tidur bersama. Memang ucapan terima kasih yang tidak terhingga dengan Celcom yang memberikan capaian internet walaupun mengharapkan yang lebih baik seperti berada di bandar besar di dalam Malaysia. Jangan pula nanti apabila pengguna dah semakin ramai maka berlaku pula yang sebaliknya dan semakin buruk pula rangkaiannya...

Salam untuk semua..............