Sunday, July 19, 2009

Israk Mikraj

Hari ini 27 Rejab, 1430 adalah tarikh satu tarikh penting dalam sejarah Islam di mana umat Islam akan memperingati satu peristiwa agung iaitu Israk Mikraj.

# Ceramah Israk Mikraj oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ( Bekas Mufti Perlis )

Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luarbiasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku setelah Nabi menempuh tahun dukacita di mana Nabi telah kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal. Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana Baginda Nabi Muhammad SAW telah meghadapi cobaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk Israk dan Mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Antara pengajaran penting daripadanya ialah

1. Kewajiban solat lima waktu telah dianugerahkan kepada umat Muhammad. Kewajiban solat diwahyukan terus tidak seperti kewajiban ibadat lain seperti zakat dan puasa yang diturunkan sebagai wahyu dan disampaikan melalui Jibril. Itu menunjukkan betapa penting dan istimewanya solat. Kewajiban solat juga adalah hadiah yang paling berharga kepada Nabi untuk merawat segala kesedihan dan kemurungan yang baginda hadapi.

Solatlah sebenarnya jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kita hadapi. Andai kita berhadapan masalah yang berat yang tak tertanggung, kekecewaan yang tak terbendung, kebuntuan mencari jalan keluar, keresahan dan kekosongan jiwa, kembalilah kepada Allah. Carilah pengampunanNya dan berbicaralah terus dengan Yang Maha Pencipta.

2. Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi Muhammad SAW memang telah pergi ke Palestine dan merentasi 7 langit pada satu malam.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi setelah Nabi Muhammad SAW menceritakan kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat dan kekuasaan Allah SWT. Allah SWT juga telah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah S. W. T. yang bermaksud : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Semoga kita bersama-sama menghayati peristiwa Israk Mikraj dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT......wallahua'lam..

Salam untuk semua.....................

No comments:

Post a Comment